Sunday, October 30, 2011

Analisa Pelaburan Saham Di Bursa Malaysia


Dalam artikel yang lalu telah saya terangkan mengenai kaedah pelaburan saham melalui IPO dan IPO MITI. Pelaburan saham-saham sebelum ia disenaraikan di Bursa Malaysia. Dalam bab ini saya akan terangkan pula mengenai pembelian saham yang telah tersenarai di Bursa Malaysia atau ready market. Pelaburan dalam saham ready market ini sebenarnya agak rumit dan memerlukan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang jitu. Namun demikian di sini saya akan cuba memudahkannya untuk pengetahuan sidang pembaca sekelian dengan harapan ia membawa manfaat kepada anda yang baru menceburkan diri dalam bidang saham ini.

Secara dasarnya apa yang perlu diketahui bila anda ingin memulakan pelaburan saham ialah kita perlu melihatnya dari sudut makro iaitu dari sudut ekonomi dunia, Amerika, menuju ke Asia, Asia Pasifik, Malaysia hinggalah ke sudut mikro iaitu Industri, Sektor hinggalah kepada syarikat yang ingin kita laburkan itu.

Ini kerana pasaran punya apa yang dinamakan sentimen. Sentimen ialah perkara-perkara yang berlaku yang secara tak langsung memberi impak kepada saham syarikat yang kita laburkan itu.

ANALISA MAKRO

Dari segi makro kenaikan dan penurunan harga komoditi, kenaikan harga minyak mentah contohnya akan pasti menjejaskan banyak syarikat namun demikian ia tetap akan menguntungkan syarikat berkaitan minyak. Negara kita ini sebenarnya beruntung kerana mempunyai pelbagai sumber bahan mentah yang mana setiap sentimen yang berlaku akan membawa kebaikan kepada salah satu diantara industri-industri ini.

Contohnya kejadian tsunami di Jepun akan menguntungkan syarikat pembalakan di negara ini, merebaknya penyakit H1N1 contohnya akan menguntungkan syarikat getah yang mengeluarkan sarung tangan dan alat kelengkapan perubatan, kenaikan harga sawit akan menguntungkan syarikat-syarikat perladangan sawit ini dan begitulah seterusnya. Inilah kelebihan syarikat-syarikat di negara ini.

Seperkara lagi dewasa ini kita banyak mendengar akan kisah bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, banjir besar, gunung berapi dan sebagainya. Baru-baru ini banjir besar berlaku Bangkok Thailand, gempa bumi di New Zealand, China, Indonesia dan sebagainya menyebabkan kebanyakan pelabur akan mengeluarkan pelaburan mereka malah menghindar dari melabur ke dalam negara-negara ini kerana risiko bencana alam ini. Dewasa ini institusi-institusi pelaburan luar negara mula menilai faktor bencana alam ini sebagai salah satu nilai penting sebelum pelaburan dibuat dalam negara-negara ini. Sekali lagi Malaysia beruntung kerana negara ini tidak punya masalah-masalah bencana alam yang teruk sebegini. Menurut penganalisis pasaran Christchurch New Zealand akan mengambil masa 30 tahun sebelum ia bangkit kembali. Di Bangkok angka kerugian yang disebabkan banjir besar itu dianggarkan melebihi RM$400 Billion.

Seterusnya faktor politik. Di negara seperti Filipina, Thailand, Indonesia malah dewasa ini di Timur Tengah pergolakkan politiknya begitu ketara hingga membawa kepada pembunuhan pemimpinnya mahupun pengambilalihan kuasa dari satu tangan kepada tangan yang lain. Semua ini sebenarnya secara langsung menjejaskan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Filipina contohnya yang satu ketika begitu kaya telah jatuh miskin semenjak pemerintahan Marcos contohnya. Indonesia telah sedar yang semua ini membawa kepada permasalahan maka dewasa ini rakyatnya lebih matang dan mula menekankan kepada peningkatan ekonomi dengan memastikan yang mereka mempunyai kerajaan memerintah yang stabil. Inilah antara sebabnya dewasa ini ekonomi mereka mula rancak malah pasaran saham mereka telah mengatasi Malaysia dari segi modal pasarannya.

Sekali lagi negara Malaysia beruntung kerana kita tak punya masalah pergolakan politik yang begitu teruk sepertimana yang berlaku di negara-negara ini mahupun sepertimana yang berlaku di timur tengah. Bencana alam mahupun pergolakan kuasa ini sebenarnya menjejaskan ekonomi dan bakal membawa kita selangkah ke belakang. Dalam hal ini saya harap rakyat menjadi lebih matang dan memahami semua ini. Pilihlah kerajaan dengan berhemah, kerajaan yang boleh membawa kita maju ke hadapan. Janganlah menggunakan kaedah kekerasan untuk mengambil alih kuasa kerana ia akan membawa kepada banyak keburukan kepada sosio ekonomi negara ini.

Singapura contohnya menjalankan demokrasi yang agak autokrasi yang mana pemimpinnya seakan diktator dibawah kepimpinan Lee Kwan Yew namun negara itu tetap maju dari segi ekonominya kalau dibandingkan dengan negara-negara serantaunya. Mungkin anda akan berkata ia sebuah negara kecil dengan populasi penduduk yang terhad yang mudah dipimpin namun sedarkan anda banyak lagi negara kecil yang punya sampel yang lebih kurang sama tidak berjaya sepertimana yang ditunjukkan oleh Singapura.

Namun demikian tanpa sumber mentah di negara itu ia akan menjejaskan mereka dalam jangkamasa panjang, dewasa ini Singapura terpaksa mencari jalan lain untuk merancakkan ekonomi negara itu. Mereka menggunakan pelaburan sebagai salah satu jalannya dan seperkara lagi dewasa ini mereka menggunakan jalan hiburan dan perjudian bagi menjana ekonomi berdasarkan model di Las Vegas, Nevada. Jadi tak hairanlah kalau mereka akan membenarkan tarian bogel, pemerdagangan seks, perjudian dan sebagainya.

Kejatuhan sistem kewangan komersial yang dipelopori Barat pula membawa keuntungan kepada sistem kewangan Islam dan negara ini merupakan antara negara yang terkehadapan dalam sistem kewangan Islam ini. Sekali lagi hakikatnya alangkah beruntungnya negara ini. Merudumnya sistem kewangan komersial barat telah menyebabkan banyak syarikat-syarikatnya seperti Tyco, Johnson and Johnson, Enron, Bear Stern, Lehman Brothers dan sebagainya melungkup dan jatuh bankrap. Bukan syarikat sahaja yang terjejas tetapi banyak negara-negara barat juga mengalami masalah yang sama. Iceland, Belarus, Greece, Italy, Portugal, Spain juga sedang senak dan menghadapi malsah kewangan yang meruncing. Semuanya disebabkan ketamakan mereka berbelanja tidak mengikut kemampuan kewangan mereka sendiri, mengeluarkan produk-produk kewangan derivatif yang menipu pelabur dan sebagainya.   

Mungkin ramai yang tidak sedar dan tak tahu akan betapa banyaknya kebaikan yang ada dalam negara ini demi untuk kemajuannya di masa mendatang saya harap huraian ringkas ini boleh membawa kefahaman kepada anda mengenainya. Sebenarnya banyak lagi faktor yang positif untuk negara ini yang boleh dihuraikan seperti skil tenaga kerja, pendidikan, kedudukan geografi, kelebihan produk halal dan sebagainya tapi cukuplah setakat itu buat masa ini.

Semua faktor ini sebenarnya menyebabkan keputusan untuk melabur dalam saham-saham syarikat tersenarai dalam Bursa Saham di negara ini merupakan satu keputusan yang bijak dan akan menguntungkan di masa-masa yang mendatang.

ANALISA MIKRO

Seperti yang saya katakan tadi negara ini mempunyai banyak kelebihan dalam banyak segi jadi disini sudah tentulah syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan dalam negara ini seharusnya mendapat keuntungan dari perniagaan yang dijalankan andai ia dijalankan dengan urus tadbir yang betul. Mungkin kalau adapun masalah negara ini ialah populasinya sekitar 28 juta orang adalah satu jumlah yang agak kecil. Oleh itu consumer spending atau perbelanjaan pengguna dalam negara juga kecil kalau dibandingkan dengan negara-negara yang populasinya besar. Negara seperti ini cepat bangkin dari kegawatan ekonomi kerana perniagaan yang dijana dalam negara sudah cukup untuk merancakkan ekonomi mereka.

Apapun kita telah jauh melangkah maju semenjak tahun-tahun 90 an dimana ekonomi negara berkembang dengan pesat, bidang pembinaan, pembankan, telekomunikasi dan sebagainya mengalami pertumbuhan yang amat menggalakkan. Disamping itu juga peningkatan dalam bidang pendidikan dan tenaga kerja juga jelas kelihatan. Semakin lama semakin ramai profesional yang dilahirkan di negara ini yang menyumbang kepada pembangunannya.

Bertitik tolak dari semua ini, syarikat getah, kelapa sawit, perkilangan, pembinaan, pembankan dan sebagainya berkembang dengan baik hingga membawa kepada ketepuan. Ketepuan yang dimaksudkan di sini ialah syarikat telelomunikasi contohnya telah tepu hinggakan boleh dikatakan semua penduduk di negara ini dari yang dewasa kepada kanak-kanak mempunyai alat perhubungan telefon untuk berhubung. Dalam sektor pembankan pula ia telah begitu tepu hingga boleh dikatakan di setiap pelusuk di negara ini sudah pasti ada bank untuk kemudahan semua.

Ini menyebabkan syarikat-syarikat ini mesti melebarkan sayap ke luar negara untuk ia terus berkembang dan berdaya saing. Inilah sebabnya dewasa ini kita dapat lihat syarikat-syarikat yang diperbadankan di negara ini mula melangkah maju membuka cawangan, mengambil alih syarikat-syarikat di luar negara. Bank CIMB contohnya melangkah ke Indonesia, Thailand, Singapura dan sebagainya. Syarikat telekomunikasi AXIATA milik Telekom juga mengembangkan sayapnya ke negara India dan kebanyakan negara Asia Pasifik yang lainnya. Banyak syarikat pembangunan hartanah dan pembinaan negara ini juga telah melebarkan sayapnya bukan hanya di rantau Asia Pasifik namun ke Australia, Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin malah ke Eropah sekalipun. Syarikat yang mengeluarkan sarung tangan getah TOPGLOVE contohnya menjadi syarikat terbesar di dunia dalam penghasilan sarung tangan getah, syarikat perladangan sawit juga tak kurang hebatnya di mata dunia. Dewasa ini syarikat penerbangan AIR ASIA juga mula mengorak langkah di Asia dalam industri penerbangan tambang murah.

Jadi, bukankah satu masa nanti syarikat-syarikat ini bakal menjadi syarikat gergasi yang global? Bagaimana pula harga sahamnya? Sudah pasti ia akan melonjak naik begitu tinggi hingga kemungkinan satu hari nanti ia tak mampu lagi dibeli oleh pelabur-pelabur runcit. Syarikat Korea Selatan seperti Samsung, Hyundai, Kia, LG dan sebagainya telah berjaya menembusi pasaran dunia, dalam hal ini sebenarnya tiada sebab syarikat-syarikat negara ini tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Sekali lagi saya tekankan melabur saham dalam syarikat-syarikat di Bursa Malaysia adalah sesuatu yang pasti akan menguntungkan anda di masa-masa mendatang. Persoalan yang tinggal kini ialah bagaimana untuk memilih syarikat-syarikat yang baik, utuh dan mempunyai potensi besar di masa-masa yang mendatang yang mana akan menguntungkan pelaburan yang kita jalankan itu. Apapun dalm bab-bab yang mendatang semua ini akan saya huraikan dengan cara yang semudah mungkin untuk kefahaman anda semua.

ANALISA SYARIKAT

Sebenarnya dalam benang tamadun negara ini yang masih mentah maka masih terdapat banyak kelompongan dari banyak segi untuk kita maju dan menjadi syarikat-syarikat global yang disegani. Penganalisis mengatakan yang kita tersangkut dalam middle earner income setelah sekian lama dan sehingga kini masih belum dapat masuk ke peringkat high earner income kerana faktor-faktor yang tertentu.

Bagi memudahkan kefahaman analoginya begini. Kalau dahulu kita punya jalan tanah merah sehala ia berkembang menjadi jalan dua hala, diletakkan garisan, kemudian diturap, dipasang lampu jalan, pembahagi jalan, pokok hiasan, berkaki lima dan hingga kini siap dengan pelbagai arca-arca menghiasi perjalanan.

Inilah yang berlaku di negara-negara Barat dimana boleh dikatakan setiap tempatnya berturap dan dihiasi dengan pelbagai perkakasan. Semua ini boleh dilakukan dengan adanya sumber kewangan.

Dalam hal ini, dalam negara ini masih banyak kelompongan yang masih ada. Masih banyak kelemahan yang perlu kita atasi. Kita masih belum punya cukup saintis, jurutera, perekacipta, pakar kewangan, pakar perubatan yang boleh membawa kepada penciptaan produk buat manusia sejagat. Contohnya kita masih ketinggalan dalam bidang perkilangan kerana orang kita tak punya kilang. Kita ketinggalan dalam bidang ekonomi Islam kerana kita tak punya tenaga kerja pakar yang mencukupi. Kita tak punya kepakaran pemasaran yang membolehkan kita bersaing di peringkat global. Sebenarnya banyak lagi kelompongan yang masih ada yang perlu kita baiki sebelum kita dapat berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan orang-orang di negara maju.  

Facebook contohnya hanya bermula kurang 10 tahun yang lalu tetapi dengan bantuan Sean Parker pengasas Napster yang mempolopori laman web muzik yang dimuat turun secara percuma, ia berkembang pesat dan menguasai dunia hingga semua orang memperkatakan mengenainya. Syarikat Facebook ini sekarang bernilai lebih USD25 Billion.

Kebanyakan pengarah-pengarah syarikat-syarikat di Amerika contohnya terdiri daripada mereka-mereka yang berjaya. Mereka ini pula sanggup membelanjakan wang ringgit bagi membayar non executive non independent director dari syarikat-syarikat seperti Coca Cola, Nike, Mc Donald’s dan sebagainya demi untuk membantu mereka mengorak langkah memasuki pasaran global. Ia tak berlaku di sini bila non executive non independent director di sini yang dibayar elaun merupakan kroni syarikat yang mana sumbangannya amat terhad dan minimal. Inilah perbezaannya.

Apapun semua ini memerlukan masa. Pembentukan semua nilai-nilai ini pasti lambat laun aku berlaku dan segala kelompongan-kelompongan ini akan dapat ditutup dan diperbaiki hingga syarikat-syarikat boleh bersaing di peringkat global. Jadi di sini bagi tujuan pelaburan kita mestilah tahu cara menilai syarikat mana yang punya kelebihan dan tahu menutup kelompongan yang ada dibandingkan dengan syarikat yang lemah tadbir urusnya. Memilih syarikat yang salah pasti akan merugikan pihak anda sendiri.

Sekian dulu buat kali ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.